Perlu kita fahami, ungkapan ‘Adab dulu, baru ilmu’, lahir daripada konteks generasi Salafussoleh—iaitu sebuah generasi yang sudah pun hidup dalam lingkungan ilmu. Ketika itu, para murid duduk di bawah para ulama besar, menghadiri halaqah, menghafaz Al-Qur’an sejak kecil, dan mengenal asas agama lebih awal daripada mengenal dunia. Maka, teguran mereka tentang ‘adab’ adalah untuk
membina kesempurnaan dalam pencarian ilmu yang sudah sedia ada.
Tetapi hari ini, realitinya terbalik. Kita hidup dalam zaman yang majoriti semakin jauh dari ilmu. Maka, kita tidak boleh terus mengulang slogan itu tanpa memahami maqasidnya. Kerana dalam zaman kejahilan yang memuncak ini, menuntut ilmu itu sendiri adalah bentuk tertinggi dari adab. Maka ; Ilmu terlebih dahulu, barulah adab.
.
“Adab ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.” (Syed Muhammad Naquib al-Attas)
.
—Adalah menjadi suatu kecuaian yang tidak wajar apabila seseorang itu tidak tahu kepada siapa seharusnya dia merujuk dalam urusan hukum-hakam agamanya.
Namun lebih membimbangkan, apabila ada pula tangan-tangan yang tanpa segan silu mengeluarkan pandangannya sendiri dalam perkara syarak—tanpa benar faham akan asas ilmu, tanpa disiplin ilmu yang benar, bahkan tanpa rasa gentar terhadap Allah.
Realitinya, dalam zaman kita hari ini, ungkapan “Adab dahulu, baru ilmu” semakin kehilangan makna dan fahamnya..
Bukan kerana adab itu tidak penting, akan tetapi kerana terlalu ramai yang berbicara soal adab tanpa terlebih dahulu memahami apa itu ilmu. Tanpa didasari ilmu yang benar –maka adab itu longgar, rapuh, dan seringkali tersasar dari akar maknanya.
Menuntut ilmu itu sendiri adalah sebahagian daripada adab—yakni adab terhadap diri, terhadap kebenaran, & terhadap Tuhan.
Ilmu yang benar ; akan membimbing adab yang benar, dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil.
Maka, ungkapan ‘Adab dulu, baru ilmu’ itu bukanlah salah.
—Cuma ia tidak lagi memadai dalam zaman yang mana kebodohan-kebodohan, lebih lantang daripada keilmuan.
Intaha. Wallahua’lam.
Hafiz Travel & Tours komited membantu anda menunaikan ibadah umrah dengan penuh ketenangan dan keselesaan. Kami memastikan setiap perjalanan diurus dengan amanah dan profesional.
All Rights Reserved © 2022 Hafiz Travel & Tours